Sunday, June 3, 2012

Pentingkah Halal Bagi Anda ?

Hari ini saya ingin kongsikan dengan anda tentang tuntutan mencari yang halal. 


Agama Islam amat mengambil berat tentang halal haram bukan sekadar dalam makanan tetapi merangkumi setiap aspek kehidupan termasuklah urusan jual beli dan pengambilan ubat-ubatan. 

Kenapa kita mesti mencari yang halal? 

Sebab pertama mengapa kita perlu mencari yang halal ialah kerana ia adalah perintah Allah s.w.t kepada kita.

Seperti mana Allah berfirman yang maksudnya : "Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik." (Surah Al-Baqarah:186). 

Sebab kedua : Mengelakkan daripada azab neraka.

Sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w : "Daging yang tumbuh daripada makanan yang haram, maka neraka lebih layak baginya." (Riwayat Thabrani). 

Sebab ketiga : Doa yang makbul. 

Rasulullah s.a.w berpesan : "Betapa ramai orang yang rambutnya kusut-masai, badannya berdebu sebab terlalu lama dalam pelayaran, makanannya dari yang haram dan pakaiannya dari yang haram, dan perutnya dipenuhi dari yang haram, diangkatkan kedua tangannya seraya berdoa : Wahai Tuhan! Wahai Tuhan! Bagaimana boleh Tuhan mengabulkan doanya." (Riwayat Muslim)

Sebab keempat : Amalan yang diterima oleh Allah s.w.t 

Memakan makanan yang halal akan menjadi sebab amalan diterima. Sebaliknya makanan yang haram itu, membuatkan amalan kita tidak diterima Tuhan. Sabda Rasulullah : "Demi (Allah) yang diri Muhammad ditanganNya, sesungguhnya seorang hamba yang memasukkan sesuap makanan haram ke dalam perutnya, tiada diterima Allah amal darinya empat puluh hari." (Riwayat Thabrani) 

Sebab kelima : Membentuk Hati yang Bersih 

Memakan makanan yang halal akan membentuk hati yang bersih daripada kejahatan. Seperti mana sabda Rasulullah : "Hati yang bersih dibentuk daripada makanan yang bersih (halal)."

Sila layari Panduan Ubat Halal jika anda nak tahu ubat yang anda ambil halal atau tidak.
  

--------------------------------------------------------------
--------------------------------------------------------------

0 comments:

Post a Comment